Header Ads

Kalau berani, cubalah...

 Minggu ini seluruh negara riuh tentang isu pengiktirafan UEC. Jangan bimbang, seminggu dua nanti senyaplah. Itulah budaya rakyat Malaysia.

(2) Sambil minum petang, elok juga saya kongsikan secebis kisah polemik pendidikan negara. Rakyat kena tahu kisah-kisah seperti ini sebagai pengajaran. Ini sejarah negara kita.

(3) Anda tentu masih ingat kisah penentangan terhadap usaha memperkenalkan tulisan khat Jawi di dalam buku Bahasa Melayu untuk pelajar sekolah rendah Jenis Kebangsaan? Hanya kerana tiga muka surat, riuh satu Malaysia kan?


(4) Tapi jangan kita ingat isu bantahan  terhadap tulisan Jawi ini adalah yang paling besar dalam sejarah pendidikan negara. Isu ini kecil sahaja berbanding apa yang pernah berlaku pada tahun 1961.


(5) Kisah pada tahun 1961 jauh lebih besar.Tetapi syukurlah kerana ketika itu Menteri Pelajaran adalah YB Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran pula ialah Dr Aminuddin Baki. Hasil ketegasan kedua-duanya tokoh pendidikan negara ini maka sistem pendidikan negara dapat dipertahankan sebaiknya.


(6) Kalaulah ketika itu Menteri Pelajaran kita jenis 'lembik' dan 'ikut sahaja', lebih sibuk kejar populariti dan membelakangkan kepentingan negara bangsa, memang sistem pendidikan berteraskan perlembagaan negara dah lama rosak.


(7) Kalau pemimpin negara dulu tidak bertegas dan berani, jangan haraplah bahasa Melayu masih kekal sebagai bahasa pengantar lagi seperti sekarang. Mungkin kita dah lama amalkan sistem pendidikan pelbagai bahasa pengantar. Tapi syukurlah, dulu kita mempunyai kepimpinan negara yang tegas dalam soal bahasa dan pendidikan kebangsaan. Al fatihah untuk mereka. (Sebenarnya tahun 1961 adalah antara tahun yang bersejarah dalam sistem pendidikan negara ini. Inilah ketikanya di mana pengasas kepada UCSTA atau Jiao Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan kerana tindakan beliau membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961.


(9) Ini berikutan bantahan keras beliau khususnya terhadap Perkara 21 (2) Akta Pelajaran 1961 yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menukarkan mana mana Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi sekolah kebangsaan sepenuhnya.


(10) Beliau juga 'mengamuk' bila Abdul Rahman Talib telah berjaya memujuk dan meyakinkan 54 buah Lembaga Pengelola sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk menjadi sekolah menengah Jenis kebangsaan Cina (SMJKC). 


(11) Bakinya, 16 buah sekolah pensendirian Cina (SMPC) yang lain bertegas menolak tawaran kerajaan. Tapi sayangnya usaha YB Abdul Rahman Talib menjadi sia-sia kerana Menteri Pelajaran selepas beliau kembali meluluskan kewujudan lebih banyak sekolah persendirian Cina. Hari ini angka 16 buah ini telah pun bertambah menjadi lebih 60 buah.



(12) Sekolah persendirian Cina yang pertama bersetuju menjadi sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ialah Penang Chung Ling High School. Pengetua Chung Ling High School, Mr Wang Yoon Nien dan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah berkenaan, Mr Ong Keng Seng telah digelar sebagai pengkhianat besar pendidikan Cina oleh para pemimpin dan penyokong Jiao Zong di seluruh negara. Mereka dipulau dan diboikot semata-mata kerana ingin bersama pemimpin negara membangunkan sebuah sistem pendidikan negara yang lebih harmoni.


(13) Jadi jangan kita lupa bahawa ramai tokoh pendidikan Cina yang turut menjadi 'mangsa' sifat perkauman dan chauvanis sejak dulu. Jangan mudah menuduh semua orang Cina menyokong chauvanis pendidikan Cina. Fakta sejarah tidak begitu.


(14) Selain mereka berdua, dua tokoh masyarakat Cina lain yang menjadi ahli jawatankuasa Laporan Rahman Talib iaitu Leong Yew Koh dan Ong Yoke Lin juga digelar pengkhianat oleh pemimpin dan penyokong chauvanis.


(15) Orang Melayu kena tahu sejarah ini, bahawa ramai orang Cina yang mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Sebenarnya ramai pemimpin orang Cina yang sanggup menerima berbagai kejian dari kumpulan chauvanis semata-mata ingin bersama pemimpin Melayu membina sebuah sistem pendidikan kebangsaan di negara ini. Pengorbanan mereka ini jarang didendangkan.


(16) Kesabaran kerajaan ada hadnya. Ada ketikanya ketegasan perlukan tindakan.  Akibat bantahan berterusan Lim Lian Geok yang ketika itu memimpin Jiao Zong, kewarganegaraan beliau telah dilucutkan oleh kerajaan pada 19 Ogos 1961.

(17) Selepas beliau, tiada seorang pun pimpinan kanan Jiao Zong yang berani lagi menawarkan diri sebagai pemimpin yang baru. Mereka sudah nampak ketegasan kerajaan.


(18) Oleh kerana tiada pilihan, seorang anak muda bernama Huang Yun Yue, editor dalaman Jiao Zong untuk buletin 'Teachers' Journal' dan tidak memegang apa apa jawatan kanan dalam Jiao Zong telah dilantik menjalankan tugas Pengerusi.


(19) Mungkin mereka yang lain mula takut akan menerima nasib yang sama seperti Lim Lian Geok.  Mereka nampaknya sudah dapat isyarat jelas dari kerajaan, "kalau berani, cubalah...'


(20) Tahun-tahun awal 1960an, kegiatan Dong Zong dan Jiao Zong mula menjadi malap dan semakin lemah. Begitulah ketegasan kerajaan ketika itu khususnya Menteri Pelajaran Abdul Rahman Talib dalam memastikan sistem pendidikan negara ini tidak diganggu gugat oleh mana mana pihak yang mempunyai kepentingan kaum masing masing.


(21) Abdul Rahman Talib tegas dan berani dalam memperjuangkan prinsip membina sebuah sistem pendidikan kebangsaan. Bayangkan semua ini beliau berjaya lakukan hanya dalam tempoh dua tahun sebagai Menteri Pelajaran (1960-1962) sebelum ditukarkan menjadi Menteri Kesihatan. Setahun kemudian dikembalikan jawatan Menteri Pelajaran kepada beliau selama setahun pada 1964 hingga 1965. Mengapa ditukarkan dan dikembalikan? Ada kisah di sebaliknya. Beliau akhirnya menjadi Duta Malaysia di Mesir dan meninggal dunia di Kaherah pada tahun 1968. Hilanglah satu permata pendidikan negara yang berjaya memimpin pembinaan sebuah sistem pendidikan negara.


(22) Jadi janganlah kita ingat tidak ada orang yang pernah dikenakan tindakan undang-undang dan dilucutkan kewarganegaraan kerana isu membantah sistem pendidikan negara.


(23) Selain Lim Lian Geok, penasihat Jiao Zong ketika itu bernama Yan Yuan Zhang juga turut menerima tindakan undang-undang. Disebabkan beliau menetap di Singapura, beliau telah diharamkan masuk ke Tanah Melayu atas arahan kerajaan.


(24) Sistem pendidikan adalah 'jiwa sesebuah negara' ini. Kerajaan mesti bertanggungjawab memastikan 'jiwa negara' ini dipelihara. Menteri Pelajaran adalah penjaga atau 'custodian' sistem pendidikan negara. Kalau penjaga jenis 'lembik', rosaklah sistem pendidikan.


(25) Malaysia bertuah kerana pernah mempunyai pemimpin yang tegas dalam mempertahankan sistem pendidikan negara pada tahun-tahun yang mencabar dulu.


p/s: semua fakta di atas telah dipetik dari bahan bacaan ilmiah dan kajian Phd. Boleh rujuk:

- Ang Ming Chee, (2014) "Institutions and Social Mobilization: The Chinese Education Movement in Malaysia 1951-2011" (mukasurat 54)-sebuah kajian Phd

- Kua Kia Soong (2010), "Lim Lian Geok: Soul of The Malaysian Chinese" (mukasurat 45)

- Tan Yao Sua & Teoh Hooi See (2016), The Chinese Language Movement in Malaysia  1952-1967. muka surat 29-45.


Sumber: Anuar Ahmad

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.