Ini sesuatu yang agak mengejutkan – Proton telahpun mendedahkan hampir sepenuhnya Proton Saga MC3 2026 di Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47! Walaupun masih dilekat dengan ‘pelekat penyamaran’ dengan grafik seakan motif kain songket, rupa sebenar Saga ini sudahpun kelihatan jelas, dan ia turut mendedahkan bahagian kabin dan beberapa perincian lain.

Dapat dilihat muka Saga ini berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana fender, penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga MC3 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

Gril Saga ini juga menerima motif sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom, bersama logo Proton terletak di tengah. 



Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

Rekaan papan pemuka Saga ini juga terdedah hampir keseluruhannya. Dapat dilihat ia menerima rekaan serba baharu dengan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini. Dan yang paling menonjol adalah skrin infotainmen berdiri sendiri bercantum dengan satu lagi skrin tanpa perumah untuk paparan instrumen digital penuh.

Namun kedua-dua skrin tersebut tidak boleh diistilahkan ‘berkembar’ kerana paparan untuk meter digital adalah lebih kecik berbanding infotainmen, menyebabkan ada satu ruang gelap yang agak besar di antara kedua-dua skrin berkenaan. Saga baharu ini juga telah dipadankan dengan roda stereng rata di bawah yang diambil terus dari model-model terkini seperti X50, S70 dan X70.

Kalau anda perasan pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50. 


 
Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini. Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik.

Saga MC3 ini dibangunkan dari platform AMA Proton, di mana ia masih berasaskan platform sedia ada tetapi ditingkat taraf bagi memastikan ia terus relevan dari segi ujian keselamatan, standard terkini dan sebagainya. Walaupun muka dan bahagian belakang menerima rombakan rekaan yang besar, kerangka asas badan dan juga kesemua bentuk pintu masih lagi nampak serupa dengan versi MC2 sedia ada.

Masih belum ada maklumat rasmi bila Saga ini akan dilancarkan, namun kami difahamkan bahawa ia akan berada di pasaran sebelum berakhirnya tahun ini. 

Sumber: Paultan